SEJARAH MASJID DARUL ISLAH, MUKIM PADANG LICIN

Masjid ini mula diasaskan pada tahun 1999 oleh Almarhum Ustaz Haji Ramli Berahim Al-Azhari, menantu Tuan Guru Hj Zakaria Ismail, Tuan Guru Pondok Banggol Stol dan Ketua Dewan Ulamak Kelantan yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. Almarhum Ust Hj Ramli mengasaskan masjid ini bagi menyempurnakan amanah ibundanya tercinta, Almarhumah Hjh Fatimah binti Ngah yang mewakafkan tanah ini untuk pembinaan masjid baru bagi manfaat muslimin muslimat di kawasan ini.

Sebelumnya, terdapat sebuah surau kecil berhadapan tapak masjid ini yang telah dibina pada tahun 1981 kemudian berpindah dan diperbesarkan ke tapak yang ada kini setelah ibu Ustaz Haji Ramli iaitu Almarhumah Hajjah Fatimah binti Ngah bersama seorang lagi pewakaf iaitu Hj Yaakob telah mewakafkan tanah ini untuk pembinaan masjid yang baharu.

Bermula daripada itu, para penduduk bertungkus lumus mencari dana hatta ke Singapura untuk pembinaan masjid ini. Ustaz Haji Ramli telah melantik bapa saudara sebelah isterinya iaitu Tuan Guru Haji Yusof bin Haji Ismail, bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya Kota Kinabalu Sabah sebagai pengerusi pertama masjid ini yang telah menamakan masjid ini sebagai Darul Islah bermaksud Agen Pencetus Perubahan Solih yakni baik dengan harapan agar masjid ini menjadi asas perubah suasana masyarakat kepada yang lebih baik dan mereka yang mengimarahkan masjid akan menjadi insan yang solih, hamba Allah yang sebenar, in sya Allah dan ini telah terbukti dengan niat murni beliau itu dari semasa ke semasa dengan digerakkan oleh generasi demi generas. Beliau dibantu oleh para ahli jawatankuasa iaitu Tuan Haji Zakaria Jusoh sebagai bendahari pertama dan beberapa orang lagi iaitu Tuan Guru Hj Abdul Rahman, Tuan Hj Syafie, Tuan Hasan, Tuan Hj Nawawi serta ramai lagi. Semoga jasa bakti para pendokong generasi awal masjid ini dirahmati Ilahi dan pahala jariah mereka terus mengalir bagaikan air sungai yang mengalir deras tak kunjung kering walau kemarau melanda.

Pembinaan masjid berjalan lancar sehingga dapat melaksanakan Solat Jumaat pertama setahun kemudian setelah mendapat keizinan pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Imam pertama lantikan MAIK bagi masjid ini ialah Tuan Haji Nawawi Ali, juga murid Tuan Guru Hj Zakaria Pondok Banggol Stol yang telah berkhidmat dari tahun 2000 sehingga ke tahun 2024 kemudian diteruskan pula oleh anak kepada Ustaz Hj Ramli sehingga kini.

Masjid ini telah melalui banyak fasa penambahbaikan di bawah pengurusan bendahari Almarhum Hj Zakaria Jusoh yang banyak berkhidmat tenaga, masa dan wang ringgit untuk masjid ini yang kemudiannya diteruskan oleh Tuan Haji Nasir dalam tempoh yang begitu lama dan banyak menghabiskan infaq sendiri dan mutakhir ini di bawah pengurusan baharu Imam Tua Ustaz Taufik, setiausaha Hj Din dan bendahari En Amin Hassan.

Masjid ini kian menjadi tumpuan umum terutama pada hari Jumaat kerana lokasinya berhampiran jalan utama ke Rantau Panjang Kelantan, pintu masuk utama Malaysia - Thailand ditambah lagi dengan suasananya yang begitu selesa dan nyaman untuk jemaah yang hadir dengan kawasan parkir yang luas dan kemudahan yang kondusif. Walaupun masjid ini masih dalam fasa penambahbaikan namun kerjasama semua pihak terutamanya penduduk kampung sekitar amat membanggakan. Ini terbukti dengan setiap program yang telah diadakan Semoga Allah merahmati kita semua. Amin 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

DUA JALUR UTAMA RANTAIAN SANAD EMAS SELAWAT FATIH KE BUMI BERTUAH NUSANTARA