DUA JALUR UTAMA RANTAIAN SANAD EMAS SELAWAT FATIH KE BUMI BERTUAH NUSANTARA
Selawat Fatih amat dikenali di alam Melayu terutama melalui penulisan 3 ulamak terulung alam Nusantara iaitu Syeikh Daud Al-Fatoni, Syeikh Abdus Somad Al-Falimbani dan Syeikh Arsyad Al-Banjari. Mereka yang menelaah kitab-kitab turath/warisan ulamak Melayu pastinya menemui Selawat Fatih dalam kitab-kitab mereka. Ini membuktikan kesepakatan mereka dalam mendalami kelebihan anugerah Selawat yang tak ternilai ini.
Syeikh Daud Al-Fatoni dalam kitab utamanya Munyatul Musolli menaqalkan Kalam Al-Arif Al-Bakri dan yang dimaksudkan adalah Sidi Syeikh Muhammad Mustafa Al-Bakri As-Siddiqi berkenaan kelebihan Selawat Fatih dengan menyatakan barangsiapa mengamalkan Selawat Fatih dalam hidupnya akan meninggal dunia dengan pengakhiran yang baik, in sya Allah. Ini kerana dengan berselawat akan membawanya dekat dengan masjid, dekat dengan ulamak hakiki, dekat dengan orang-orang soleh sehingga mendidik dirinya menjadi hamba Allah yang dirahmati. Bila dirinya menjadi hamba sebenar kepada Allah, sudah pastilah dia akan diberkati hidup dan matinya.
Sidi Syeikh Muhammad Mustafa Al-Bakri As-Siddiqi, Syeikhul Masyaikh, guru besar para ulamak besar di zamannya merupakan zuriat Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, sahabat karib Rasulullah. Beliau terkenal dengan Pensyarah Titik Huruf Ba' pada bacaan Basmalah. Beliau pernah diberitakan mensyarahkan Titik Ba' dalam 2000 majlis pengajiannya. Bayangkan betapa tinggi keilmuan beliau. Titik yang disyarahnya ialah pada permulaan untuk kita lakarkan huruf ba', dakwat/titik pertama yang terkena pada kertas ketika ingin membentukkan ba' itu lah yang disyarahnya. Kerana pada titik pertama itu ada rahsia pertama pembukaan lakaran alam. Beliau juga dikenali sebagai penulis selawat yang masyhur di zamannya. Dengan kealimannya, beliau telah melahirkan ramai ulamak di Tanah Arab terutama di Syam dan Mesir, antara muridnya yang terkenal ialah Syeikh Muhammad Al-Hafni, Syeikh Jami'ah Al-Azhar Asy Syarif atau Rektor Universiti Azhar Mesir dan Syeikh Muhammad bin Abdul As-Samman, Mufti Madinah Al-Munawwarah.
Disepakati kisahnya di kalangan ulamak muktabar bahawa Syeikh Muhammad Mustafa Al-Bakri telah bermunajat kepada Allah dengan penuh pengharapan dan pengabdian di hadapan Ka'bah yang mulia selama 17 tahun dengan satu hasrat murni iaitu agar Allah mengurniakan kepadanya satu selawat yang ringkas dan padu yang merangkumi keseluruhan selawat kepada Rasulullah yang ada di muka bumi. Maka selepas 17 tahun bermunajat di hadapan Kaabah beliau dianugerahkan satu selawat teristimewa iaitu
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ، وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ، نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ، وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ، وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ .
Lalu dinamakanlah selawat ini dengan Al-Yaqut Faridah (Permata Tunggal). Selawat ini juga dikenali dengan nama selawat Al-Bakriyah dan Selawat Fateh.
Beliau telah mengijazahkan selawat ini kepada muridnya Sidi Muhammad Bin Abdul Karim Samman Al-Hasani, Mufti Madinah al-Munawwarah, Syekhul Masyaikh Madinah pada zamannya dan beliau adalah jurukunci kota Madinah serta penjaga makam Nabi Muhammad ﷺ.
Sidi Muhammad nin Abdul Karim As-Samman pula mempunyai ramai anak murid termasuklah dari bumi Nusantara ialah Syekh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Syekh Arsyad Al-Banjari, Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani, Syeikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani, Syeikh Abdul Rahman Mishri Al-Batawi, dan ramai lagi. Para ulamak Nusantara inilah yang menerima Selawat Fatih daripada guru besar mereka ini di Madinah al-Munawwarah.
Orang Melayu dahulu memang mengamalkan selawat ini kerana yang membawanya adalah Wali Qutub Tanah Nusantara terutamanya 3 orang yang disebutkan iaitu Syekh Daud Bin Abdullah Al-Fathoni, Syekh Abdul Samad Al-Falimbani, dan Syekh Arsyad Al-Banjari.
Mereka bertiga telah berjaya mencetak ramai ulamak, auliya' dan pejuang-pejuang tanah Nusantara dalam membebaskan tanah air daripada belenggu cengkaman penjajah. Bahkan Syekh Abdul Samad Al-Falimbani sendiri menemui syahid pada usianya 130 tahun ketika mengetuai peperangan Kedah - Siam. Sehingga sekarang kepalanya masih utuh berada di Muzium Istana Bangkok. Ini diakui oleh pemimpin negara yang pernah melawatnya dulu.
Selawat ini juga telah diijazahkan kepada para ulamak Al-Azhar Mesir melalui murid Syeikh Muhammad Mustafa Al-Bakri As-Siddiqi iaitu Syeikh Muhammad Al-Hafni, Rektor Universiti Al-Azhar yang masyhur. Maka tersebarlah amalan ini sehingga menjadi amalan selawat yang terbanyak diamalkan oleh umat Islam di dunia selepas Selawat Ibrahimiyyah.
Selawat ini juga masyhur di bumi Maghribi sehingga menjadi selawat rasmi negara melalui sanad ulamak terulung Syeikh Ahmad bin Muhammad Attijani Al-Hasani Al-Maghribi yang juga menerima selawat ini bersama para ulamak nusantara daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim As-Samman dan juga daripada gurunya, Syeikh Mahmud Al-Kurdi iaitu murid kepada Syeikh Muhammad Al-Hafni Al-Azhari.
Rantaian Sanad EMAS Selawat Fatih kepada ulamak NUSANTARA dan Bumi MAGHRIBI Dari ;
Sidi Syeikh Mustafa Al Bakri Al Khalwati -Sidi Syeikh Al-Hafni (Rektor Universit Al-Azhar) - Sidi Syeikh Mahmud Al Kurdi - Sidi Syeikh Ahmad Attijani
Sidi Syeikh Mustafa Al Bakri Al Khalwati -Syeikh Muhammad Bin Abdul Karim As-Samman Al-Madani - Ulamak Ulung Nusantara dan Sidi Syeikh Ahmad Bin Muhammad Attijani Al-Hasani Al-Maghribi.
Kini, amalan selawat ini dibaca dan dihidupkan semula dengan sanad baru yang awalnya datang dari sahabat seperguruan 3 bintang Ulama' Melayu tadi iaitu melalui sanad Syeikh Ahmad bin Muhammad Attijani Al-Hasani Al-Maghribi.
Semoga sanad yang datang dari bumi Maghribi ini menghidupkan kembali pembacaan Selawat Fatih ini yang pernah menjadi amalan ulama', auliya', para Sultan, dan mujahidin melayu ketika dulu.
Semoga ummat ini tidak terlepas dari mendapatkan permata tunggal (Al-Yaqut Faridah) yang bernilai ini.
Disertakan Rantaian Sanad Selawat Fatih Dari bumi Maghribi
Bagi siapa yg nak amalkan;
Sanad Zahabi Bumi Maghribi (Emas)
Al-Qutubul Maktum Wa-khotmul Muhammadi Alma'lum Sayyiduna Wamaulana Ahmad Attijani Al-Hasani RA
⬇
Sidi Muhammad Al-Gholi Al-Hasani RA
⬇
Sidi Ahmad bin Muhammad Al-Kansusi Al-Ja'fari Al-Hasani RA
⬇
Sidi Alhaj Alhusein Alyifrini Al-Hasani RA
⬇
Mujaddidulmillah Waddin Sidi Alhaj Alahsan Alba'qili Al-Hasani RA
⬇
Sidi Muhammad Al-Habib Al-Ba'qili Al-Hasani RA
⬇
Sidi Alahsan Al-Yifrini Al-Hasani RA
⬇
Sayyidina Murobbina Sidi Ahmad Al-Hadi Al-Hasani Al-Maghribi Hafizullahu Taala
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩
Selawat ini telah menjadi selawat rasmi masjid ini bermula daripada amalan pengasas masjid ini, Al-Marhum Ust Haji Ramli Berahim Al-Azhari yang menerima amalan daripada para gurunya di Universiti Al-Azhar Mesir. Selawat ini turut menjadi amalan harian isterinya Almarhumah Hjh Zaharah Zakaria, anak Tuan Guru Hj Zakaria Ismail Pondok Banggol Stol yang telah meninggal dunia dalam keadaan yang baik dan mudah, husnul khatimah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Arif Al-Bakri, Alhamdulillah. Amalannya ini diteruskan pula oleh para pewarisnya dan sering dilaungkan di masjid ini terutama pada hari Jumaat, selepas solat Fardhu dan sewaktu Qiamullail di Bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga pahala amalannya mengalir berterusan, In Sya Allah.
Comments
Post a Comment